Felda Chiku 3 merupakan salah sebuah rancangan dalam Gugusan Chiku, Mukim Relai Daerah Gua Musang, terletak dalam DUN Paloh Parlimen Gua Musang. Berkedudukan 43km dari bandar Gua Musang manakala 78km ke Kuala Krai dan 160km ke Kota Bharu.
Nama diambil berasaskan sungai Chiku yang mengalir ditengah Felda Chiku 03. Ianya bercantum dengan sungai Relai disebelah hulu, manakala sebelah hilir bertemu dengan sungai Rantau Manis yang mengalir ke sungai Krai dan terus ke sungai Kelantan.
Ladang Felda Chiku 3 dibangunkan dalam 2 peringkat. Peringkat 1 seluas 330.44 hektar dan peringkat 2 seluas 855.52 hektar serta ditanam dengan tanaman kelapa sawit. Selebihnya kawasan getah (kawasan tambahan) seluas 192.44 Ha. Kerja-kerja membangunkan kawasan ladang siap sepenuhnya pada akhir tahun 1982. Manakala pembangunan kawasan kampung siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1984.
Penempatan peneroka bermula pada bulan November 1984 bagi fasa 1, dan fasa 2 mulai November 1985. Setiap peneroka dibenarkan untuk memiliki kawasan sawit seluas lebih kurang 3.23 hektar (8 ekar), dan kawasan getah 0.8 hektar (2 ekar) serta lot rumah seluas 0.1 Ha (1/4 ekar). Seluruh perkampungan Felda Chiku 3 juga telah dibekalkan dengan bekalan elektrik 24 jam mulai bulan Mei 1996 serta kemudahan telefon.
Semua jalan di kawasan kampung sepanjang 9.770 km telah diturap. Penamaan jalan kampung menggunakan nama bunga dan nama yang sesuai dengan kedudukannya. Bekalan air bersih telah disalurkan ke keseluruhan kawasan perkampungan ini oleh Kelantan Water Sdn. Bhd.
Sumber : Pejabat Felda Chiku 03